Join us on Facebook

Thursday, 17 December 2015

MASALAH KESIHATAN

Posted by SAHLI



 




Ramai antara kita yang tidak mengendahkan sakit dada dan menganggapnya sebagai perkara biasa. Apabila sakit, kebanyakan orang hanya berehat di rumah dan bukannya segera ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.
Sakit dada yang berpanjangan iaitu melebihi tempoh enam jam perlu diambil berat kerana ia berkemungkinan menandakan kita menghidap penyakit jantung.

 angan mengambil remeh perkara ini kerana ia boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku sama ada mati mengejut atau keadaan menjadi lebih parah dan sukar dirawat.

Pakar Kesihatan Awam Hospital Columbia Asia, Dr Hanafiah Bashirun berkata, bukan semua sakit dada itu simptom sakit jantung kerana ada kemungkinan ia hanya sakit biasa saja.

Katanya, kebanyakan penyakit jantung bermula dengan simptom sakit dada yang berpanjangan iaitu melebihi tempoh enam jam.

“Pemeriksaan penting untuk mengetahui apakah punca sakit dada itu sama ada penyakit jantung atau disebabkan perkara lain iaitu sakit tulang rusuk, gastrik dan masalah paru-paru.

“Jika sakit jantung, pesakit akan berasa sakit betul-betul di tengah dada, jantung rasa ditekan, tidak selesa, kebas bahagian dada dan dagu kiri.

“Seseorang itu juga boleh mengalami sesak nafas, loya, pening, cepat berpeluh dan gangguan bekalan darah pada jantung,” katanya.

Jantung adalah organ biasa yang boleh mati. Jadi apabila rasa tak selesa pada bahagian tengah dada, kita berisiko untuk terkena serangan jantung. Mereka yang ada sejarah keluarga menghidap darah tinggi, kencing manis dan kolesterol mempunyai peluang untuk mendapat sakit jantung.

Selain itu, kegemukan melampau atau obesiti juga akan turut menyumbang mendekatkan kita kepada penyakit ini.

Oleh itu, mereka perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat iaitu mengelakkan merokok dan minum arak kerana mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat serangan jantung.

Ada dua cara untuk mengesan penyakit ini iaitu dengan melakukan elektrokardiogram (ecg) dan ujian darah. Jika individu dikesan mempunyai penyakit jantung sama ada minor atau major, rawatan segera akan diberikan kepada mereka.

Dr Hanafiah berkata, pesakit jantung minor dan major akan diberikan ubat
bersesuaian iaitu ubat makan dan suntikan.

“Pemberian ubat akan menstabilkan keadaan pesakit sebelum menjalani ujian angiogram iaitu suntikan ubat untuk melihat saluran darah mana yang tersumbat di jantung pesakit.

“Ujian ini amat penting kerana dapat mengesan tahap pesakit sama ada minor ataupun major,” katanya yang menjelaskan ubat bersesuaian akan diberikan segera.

Pesakit jantung yang mengalami masalah minor akan dirawat dengan pemberian ubat untuk mencairkan darah, seterusnya mengelakkan salur darah ke jantung tersumbat.

Ubat ini perlu diambil berterusan dan tidak boleh berhenti tanpa nasihat doktor. Jika pengambilannya dihentikan, pesakit berisiko tinggi mengalami serangan jantung.

Menurutnya, ubat pencair darah mempunyai kesan sampingan sama ada pendarahan pada gigi atau kulit menjadi lebam. Jika ini berlaku, pesakit perlu segera berjumpa doktor dan maklumkan kepada mereka untuk proses penukaran ubat. Mungkin ubat itu tidak sesuai dengan pesakit dan ubat lain akan diberikan.


Ambil perhatian

Banyak kes serangan jantung berlaku tanpa disedari dan ramai meninggal dunia sebelum sampai ke hospital. Bagi yang bertuah dan sempat diberikan rawatan, boleh meneruskan hidup ‘kali kedua’ dengan lebih berhati-hati.

Komplikasi dan masalah serangan jantung menyebabkan kematian mengejut dan membahayakan nyawa pesakit. Jadi untuk selamat daripada serangan itu, pesakit perlu mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan dan perlu mengambil ubat yang diberi. Ubat-ubatan terbabit amat penting untuk menjaga kestabilan kesihatan mereka.

Ada dalam kalangan pesakit jantung terdedah kepada penyakit lemah jantung yang akan menyerang mereka selepas beberapa tahun menghidap sakit jantung.

Dr Hanafiah berkata, penyakit lemah jantung amat bahaya kepada diri kerana jantung gagal berfungsi untuk mengepam darah ke anggota badan dan menyebabkan cecair bertakung pada paru-paru. Salah satu tandanya ialah kaki pesakit membengkak.


Justeru, beliau menitipkan beberapa pesanan untuk diamati iaitu:

  • Individu yang ada risiko sakit jantung iaitu sakit dada berpanjangan dinasihatkan segera pergi ke hospital sekurang-kurangnya dalam tempoh enam jam bagi mengelakkan kejadian yang lebih teruk.


  • Untuk mengesahkan masalah salur darah ke jantung tersumbat, gunakan ubat bawah lidah dan jika selepas lima minit masih terasa sakit, segeralah ke hospital. Mereka juga perlu mengambil ubat pencair darah ketika berada di rumah sebelum ke hospital untuk pengesahan.


  • Pesakit yang mengalami masalah kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi dan kencing manis yang tidak terkawal perlu mendapatkan rawatan untuk mengurangkan risiko serangan sakit jantung.


  • Ramai orang terlalu kedekut kudrat untuk bersenam. Dr Hanafiah menasihatkan supaya kita selalu bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan 150 minit seminggu untuk mengekalkan kecergasan badan.

    Cuba curi sedikit masa untuk bersenam walaupun melalui hari yang sibuk. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk mengeluarkan peluh iaitu berlari laju, naik turun tangga dan joging. Senaman tidak perlu terlalu berat, cukup hanya senaman ringan mengikut kemampuan diri asalkan mengeluarkan peluh.


  • Jaga makan. Banyakkan mengambil buah-buahan, sayur-sayuran, kurangkan lemak, gula dan garam untuk mengurangkan risiko sakit jantung.



Petua kekalkan kesihatan jantung

  • Kawal berat badan. Berat badan berlebihan menandakan kandungan lemak yang banyak di dalam badan. Lemak akan berada di seluruh badan termasuk di jantung. Lemak yang terkumpul di jantung akan mengganggu fungsi jantung.



  • Pemakanan. Untuk mengelakkan penyakit jantung, kita mesti memberi perhatian kepada sajian harian. Elak daripada mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak dan kolesterol seperti mentega, minyak sapi dan santan.

    Digalakkan untuk memakan lebih sayur-sayuran seperti lobak merah, kubis, sayuran berdaun hijau dan buah-buahan setiap hari.

    Individu juga perlu menjauhi alkohol kerana tidak elok untuk jantung dan hati. Bagi mereka yang gemuk, agak sukar untuk menurunkan berat badan sekiranya mengambil minuman beralkohol.



  • Senaman. Bersenam setiap hari amat baik untuk kesihatan. Senaman yang teratur dapat memastikan jantung berfungsi dengan baik. Senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih berkesan dan membantu menurunkan tekanan darah.



  • Merokok. Majoriti rakyat Malaysia yang diserang penyakit jantung adalah dalam kalangan perokok. Pesakit jantung dinasihatkan supaya memberhentikan tabiat merokok ini bagi mengurangkan risiko penyakit ini berulang.



  • Perubahan gaya hidup. Penyakit jantung biasanya dikaitkan dengan gaya hidup seseorang sama ada pemakanan, tabiat merokok, aktiviti harian dan sebagainya. Anda perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat supaya terhindar daripada sebarang penyakit.